top of page

'Empayar' percubaan Azmir Arif hidupkan Irama Tradisional


Tidak dinafikan saban hari lagu berentak Irama Tradisional semakin pupus dari siulan masyarakat. Jika tidak ada yang mengangkat kembali genre lagu ini tidak mustahil bukan sahaja bait indah irama tradisional tidak lagi dapat dihayati, malah seni warisan pusaka negara turut hilang sama.


Mengambil pendekatan itu,penyanyi, Azmir Arif muncul dengan lagu terbaru, Empayar bermelodikan nada Irama tradisional sebagai inisiatif usaha menghidupkan semula lagu kategori itu.


Walaupun bukan pejuang kerana merasa diri masih baru dalam industri, Azmir tidak gentar mempertaruhkan lagu ini yang berlenggokan bahasa indah madah melayu yang diselitkan alunan bunyian klasik nyanyian asli.


Lagu yang dicipta oleh Rosli Selasih dan lirik ciptaan Ahmad Fetri Yahya itu mengajak masyarakat supaya tidak malu untuk mendendangkan lenggok irama tradisional sebagai siulan muzik pilihan. Malah mendengar lagunya sahaja turut membawa kita ikut berdendang dan mahu menari mengikut rentak lagu.


Azmir Arif yang lebih 10 berada dalam industri sememangnya mempunyai vokal yang rasi dengan irama tradisional dan keputusan untuk mempertaruhkan lagu baru dalam genre ini umpama kalau takut dilimbur pasang jangan berumah di tepi pantai. Katanya dia bersedia dengan apa juga reaksi peminat dan pendengar.


Apa yang pasti niat menjulang kembali lagu berentak irama tradisional adalah iltizam penyanyi Azmir Arif tahun ini. Malah katanya, dia melihat bait kata lagu baharunya juga memuji dan memberi semangat kepada negara yang ketika ini sedang berhadapan dengan wabak pandemik, Covid-19.


Katanya, madah melayu yang terkandung dalam lagu itu memberi kekuatan tersendiri kepada barisan hadapan, pemimpin dan masyarakat yang sama-sama memainkan peranan tersendiri bagi menghadapi musibah ini.


Lagu Empayar bakal menemui peminat di saluran YouTube jam 2 petang ini.


Lagu: Rosli Selasih

Lirik: Ahmad Fedtri Yahya

Terbitan: Grand Centerstage Entertainment


Ditulis oleh Ama Alias

Penulis adalah Wartawan Sambilan News Straits Times Press (NSTP) untuk Berita Harian dan Harian Metro.


Comments


bottom of page